Semua yang dibuat oleh isteri tidak kena sehingga mendera perasaan isteri sedangkan sebelum ini, isterilah yang buat semuanya. Ingin tahu apa kisah seterusnya minggu ini, Shereen (bukan nama sebenar) ada cerita yang ingin dikongsinya dengan pembaca.
Ini kisah Shereen
“Umur saya 56 tahun, masih bekerja. Suami seorang ahli perniagaan berjaya, ada nama, gelaran dan dikenali ramai. Kami telah mendirikan rumah tangga selama 30 tahun.
“Mempunyai tiga orang anak, seorang lelaki dan dua perempuan yang telah dewasa, berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. Kami juga telah dikurniakan tiga orang cucu. Alhamdulillah.
“Sejak berkahwin, saya sangat bahagia, suami seorang yang penyayang dan menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. tapi itu dahulu, masa dia susah, masa sedang berjuang untuk berjaya.
“Tidak lagi sekarang. Manusia berubah. Begitu juga dengan suami saya. Tidak boleh larang, tidak boleh halang. Orang lelaki memang begitu agaknya perangai mereka. Masa susah dengan isteri, bila senang, berkongsi dengan orang lain.
“Tapi saya percaya tidak semua lelaki begitu, ada yang baik dan kekal sayangkan isteri sampai mati, bertuah mereka, tapi tidak bagi saya.
“Saya mula diabaikan suami lima tahun lalu setelah dia mendapat gelaran, bisnesnya menjadi-jadi, klien sana klien sini, golf sana, golf sini.
“Biasalah kita isteri yang low profile, yang tidak menumpang nama dan gelaran suami. Yang tidak menonjol diri sebagai isteri ahli perniagaan berjaya. Tidak pandai nak pergi main golf, nak ke spa dan gimnasium setiap petang.
“Sebab itu bukan dunia saya. Dunia saya selepas balik kerja adalah di rumah, mengurus rumah tangga dan paling tidak, berehat untuk menenangkan fikiran. Saya tidak sedar bila drama kisah cinta suami bermula. Bila saya sedar, dia sudah bernikah.
“Wanita pilihannya dari seberang. Kononnya semasa berulang alik ke sana bermain golf, dia terjerat dengan wanita itu. Kerap juga saya jumpa bil hotel, makan minum bila dia balik dari bermain golf. Satu hari, saya jumpa bil yang mencurigakan. Bil membeli-belah di mall yang antaranya termasuk pakaian kanak-kanak dan permainan kanak-kanak.
“Tapi saya tidak bertanya, saya nak siasat dan cari bukti dahulu.
“Lagipun hati saya tidak tenteram sebab suami kerap sangat ke seberang untuk bermain golf. Sebulan hampir lima kali. Pelik juga, selalu tiga bulan sekali.
“Akhirnya Allah tunjuk kebenarannya. Saya melihat sendiri suami dengan isteri mudanya di sebuah hotel di sana. Ada seorang kanak-kanak lelaki, berusia dalam empat tahun. Cara dia layan budak itu macam anak. Sah itu anaknya.
“Hendak sembunyi di mana kalau mata sudah bertentang mata, kelam kabut juga dia jadinya. Saya tidak panik, tidak marah dan tidak menangis. Saya senyum sahaja sebab Allah sudah tunjuk kebenaran kepada saya.
“Jumpa di rumah kita selesaikan, kata saya tenang sambil meninggalkan hotel tersebut. Suami terpinga-pinga dan tidak berkata apa-apa, macam orang bodoh. Nampak sangat dia tidak keruan.
“Balik dari sana kami tidak bertegur sapa. Saya sengaja simpan perasaan saya sebab saya ada plan, saya buat persiapan untuk menyerang. Saya hendak selesaikan masalah kami.
“Apa nak jadi, jadilah. Saya hendak anak-anak jadi saksi, mereka sudah cukup dewasa untuk faham keadaan saya dan ayah mereka. Saya jemput anak menantu semua ke rumah untuk membuat pengumuman penting. Mereka semua sangat suspen sebab saya tidak beritahu untuk apa.
“Makan malam berlangsung dengan tenang. Anak-anak, menantu dan cucu semua sangat gembira. Selesai semuanya saya panggil mereka ke ruang tamu. Saya buat pengumuman yang saya hendak berpisah dengan ayah mereka.
“Tergamam semuanya. Wajah suami berubah sama sekali. Dia sangat terkejut dengan keputusan saya. Anak-anak bertanya kenapa, saya ceritakan semuanya. Saya tunjukkan gambar ayah mereka dengan isteri baharu sebagai bukti.
“Ini bukti kenapa ayah selalu pergi ke sana main golf, alasan sahaja tetapi ayah dah bernikah lain tanpa pengetahuan mama. Ayah tipu mama. Ayah buat mama macam orang bodoh. Sekarang mama nak ayah ceraikan mama.
“Kalau anak-anak sayangkan mama, reda dengan keputusan mama ini, kata saya sebak. Tapi saya nekad dengan keputusan saya. Apapun tidak boleh menghalang keputusan saya, juga anak-anak.
“Anak-anak tidak ada yang membantah. Mereka hormat keputusan saya. Dan malam itu saya terputus hubungan dengan suami. Dia juga reda dengan keputusan saya dan sangat kecewa. Dia minta maaf kerana mengkhianati rumah tangga kami.
“Sudah terlambat untuk minta maaf. Semuanya sudah tertulis. Saya bahagia dengan cara hidup saya sekarang, walau tanpa suami, saya gembira. Tak apalah tak ada gelaran. Bukan mustahak pun, lagi pun tumpang gelaran suami. Bukan boleh bawa mati pun.
“Kepada lelaki di luar sana, saya ingatkan, jangan lupa diri bila sudah kaya, ada gelaran. Tak ke mana pun. Jangan tipu isteri, lambat laun dia akan tahu juga. Saya yakin semua kawan-kawan bekas suami dalam group golf itu juga pasang cawangan, sebab semasa di hotel tersebut, ramai sangat wanita dan anak kecil berada di lobi.
“Terima kasih Laila (bukan nama sebenar), teman saya ke seberang untuk misi ini. Semoga Allah lindungi dan berkati hidup saya, anak menantu dan cucu-cucu saya,” Shereen menutup ceritanya.
Alahai sedihnya baca cerita Shereen. Banyak bersabar Shereen. Anda telah buat keputusan yang anda sahaja faham. Memang betul, sakit sangat bila kasih kita dikhianati orang tersayang.
Saya kagum dengan cara anda menangani masalah ini, mencari bukti kecurangan suami dengan cara paling berhemah. Ingatlah suami-suami semua, walaupun berhak kahwin empat, tidak bermakna hati isteri perlu disakiti.
Duhai para isteri, awas jika suami kerap out station ke luar negara, bukan sahaja untuk bermain golf, tapi untuk apa tugasan sekalipun, baik ikut atau pastikan memang tujuan mereka yang benar, bukan mengambil kesempatan.
Pesanan saya di akhir catatan, berterus terang adalah jalan terbaik untuk menangani masalah walaupun perit tetapi ia boleh diselesaikan jika kedua-dua pihak ikhlas dan jujur dalam perhubungan.
Salam